PENGURUSAN KO KURIKULUM : REFLEKSI KERTAS KERJA
Pada bulan Februari hingga April tahun 2018, saya telah menerima tugasan untuk menyiapkan satu perancangan projek iaitu penghasilan kertas kerja untuk aktiviti kokurikulum. Alhamdulillah saya telah berjaya menyiapkan tugasan tersebut dengan jayanya. Maka bagi melengkapkan lagi tugasan subjek Pengurusan Kokurikulum, saya akan menghasilkan satu penulisan refleksi bagi tugasan kertas kerja ini. Dalam menyiapkan tugasan yang telah diberikan, pelbagai pengetahuan baru yang telah saya ketahui. Saya juga dapat mengenalpasti kekurangan dan kelebihan yang ada pada diri saya dalam menyiapkan tugasan ini. Dalam penulisan ini, saya akan menjelaskan dengan lebih terperinci tentang refleksi pembuatan kertas kerja berikut.
Pada mulanya, terdapat beberapa kekangan yang saya hadapi kerana tidak pernah membuat sebuah kertas kerja bagi sebarang aktiviti sebelum ini, oleh itu, saya telah meminta bantuan daripada senior untuk mendapatkan contoh kertas kerja rujukan dan beberapa sumber daripada internet juga. Selepas itu, saya telah membuat keputusan untuk membuat kertas kerja Bola Jaring. Maklumat saya adalah amat terhad, jadi saya telah juga mendapatkan maklumat daripada buku-buku di perpustakaan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail. Saya merujuk kepada format kertas kerja yang telah dipelajari dalam kelas untuk membentuk kertas kerja saya yang tersendiri bagi aktiviti tersebut. Setelah melakukan beberapa pembacaan di internet dan mendengar penerangan daripada senior dan pensyarah kesayangan saya, Encik Mohd Zaid Bin Yusuf, saya mula mendapat idea untuk meneruskan perancangan projek saya.
Menurut Juliza Ezaida (2014), kegiatan kokurikulum dapat diertikan sebagai apa-apa kegiatan yang dirancang daripada proses pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah (kurikulum) yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di bilik darjah. Oleh itu, berdasarkan apa yang saya fahami menurut pernyataan tersebut, saya memilih untuk menghasilkan kertas kerja kokurikulum yang berkait dengan sukan dan permainan. Aktiviti kokurikulum membolehkan saya untuk mempelalajari pelbagai cara untuk membentuk organisasi dalam sebuah kelab sukan dan memahami setiap tugas yang diperlukan bagi memastikan segala program dan perancangan yang dilakukan berjalan lancar. Penglibatan diri dalam aktiviti kokurikulum turut membantu pelajar untuk menjadi lebih sistematik (Ahmad Jalil, Noor Azyani & Ahmad Esa, 2012).
Terdapat beberapa kekuatan yang telah saya temui sepanjang menyiapkan tugasan ini. Antaranya ialah, saya mempunyai keazaman yangf tinggi untuk mencari bahan dan sumber bagi melengkapkan tugasan saya. Menurut Radhiah Muda dan Ahmad Zabidi Abdul Razak (2017), kokurikulum memberi seseorang individu peluang untuk melihat potensi diri mereka dan menjadikan mereka lebih bersemangat. Benarlah yang dinyatakan berikut kerana setelah saya memulakan perancangan bagi rangka tugasan berikut, saya mendapat idea dan pelbagai ilham untuk saya menyiapkan tugasan berikut. Namun begitu, tugasan yang saya hasilkan ini juga tidak mungkin dapat dihasilkan sekiranya tidak mendapat bimbingan daripada pensyarah. Pelajar yang belajar sendiri tanpa sebarang bimbingan mustahil akan berjaya tanpa gurunya (Daud Firdaus, 2012).
Seterusnya, saya juga menemui beberapa kelemahan dalam menyiapkan tugasan ini. Antaranya ialah, sumber rujukan yang terhad. Saya hanya mencari sumber daripada internet di mana tidak semua sumber boleh dipercayai. Sumber buku di perpustakaan kampus ini adalah terhad, oleh itu sukar bagi saya untuk membuat rujukan. Kertas Kerja ini juga adalah sangat asing bagi saya, saya terpaksa melakukan banyak kajian tentang kertas kerja. Saya juga banyak bertanya kepada guru-guru pelatih yang lain mengenai kertas kerja ini. Tambahan pula, saya tidak mengetahui format sebenar atau format yang tepat untuk menyiapkan tugasan ini. Dalam sumber yang saya peroleh, terdapat pelbagai format dan cara untuk menyiapkan tugasan ini. Kecelaruan ini sedikit sebanyak menyebabkan timbulnya kekeliruan untuk menyiapkan tugasan. Menurut Ahmad Susanto (2012), masalah akan menjadi sukar untuk diselesaikan jika kurangnya usaha. Oleh yang demikian, saya telah mencari solusi bagi masalah ini yang akan saya huraikan dengan lebih lanjut dalam perenggan yang seterusnya.
Antara penambahbaikan yang saya ingin lakukan adalah cara untuk menyiapkan tugasan dengan lebih baik. Cara untuk menyiapkan tugasan dengan lebih baik adalah dengan mencari lebih banyak rujukan dan bahan sokongan untuk tugasan tersebut. Menurut Jazmi dan Kamarul Azmi (2015), semakin banyak rujukan yang dilakukan untuk sesuatu perkara, semakin bertambah kualiti sesebuah hasil kerja. Oleh itu, berdasarkan kenyataan yang telah dinyatakan, saya berhasrat untuk melakukan lebih banyak rujukan pada masa akan datang untuk menyiapkan tugasan saya, dengan itu saya dapat menghasilkan kertas kerja yang lebih berkualiti. Bukan itu sahaja, dengan wujudnya penambahbaikan tersebut, saya akan dapat menjadi seorang pelajar yang lebih cekap dalam menyiapkan tugasan. Kertas kerja yang saya lakukan ini sebenarnya antara tugasan yang amat mencabar bagi diri saya. Hal ini demikian kerana ini adalah kali pertama saya membuat kertas kerja malahan ini adalah kali pertama saya melihatnya di internet dan contoh-contoh yang saya dapati daripada senior-senior yang lebih tua dari saya.
Konklusinya, sebagai seorang bakal guru, saya berazam bahawa akan memikul tanggungjawab saya sebagai bakal guru yang serba boleh dalam bidang akademik dan kokurikulum. Hai ini demikian kerana saya akan menjadi contoh yang baik bagi anak didik saya dan akan membantu mereka untuk turut mempunyai keseimbangan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Dengan menyiapkan kertas kerja ini, saya dapat mempelajari cara dan format untuk menyiapkan kertas kerja. Pada masa yang akan datang sekiranya saya menjadi seorang guru, saya tidak akan mempunyai masalah sekiranya saya ditugaskan untuk menyiapkan satu kertas kerja untuk sebarang aktiviti. Maka, semakin banyaklah aktiviti kokurikulum yang dapat dilaksanakan di sekolah.
RUJUKAN
Ahmad Jalil, Noor Azyani & Ahmad Esa., (2012). Kemahiran menyelesaikan masalah menerusi
aktiviti kokurikulum (khidmat masyarakat) dalam kalangan pelajar.
Ahmad Susanto, (2016). Teori belajar dan pembelajaran di sekolah dasar. Kencana.
Daud Firdaus., (2012). Pengaruh kecerdasan emosional (EQ) dan motivasi belajar terhadap hasil
belajar biologi siswa SMA 3 Negeri kota palopo. Jurnal Pendidikan dan Pembelajaran
(JPP), 19(2), 243-255.
Jasmi & Kamarul Azmi., (2015). Mahasiswa dan Penulisan Kertas Kerja Akademik. Mahasiswa
dan Kehidupan dari Perspektif Islam: Pengurusan Efektif untuk Berjaya, 2.
Juliza Ezaida Jumelan., (2014). Penguasaan kemahiran insaniah pelajar dalam penglibatan
aktiviti kokurikulum badan beruniform di UTHM (Doctoral dissertation, Universiti Tun
Hussein Onn Malaysia).
Radhiah Muda & Ahmad Zabidi Abdul Razak., (2017). PENGURUSAN PARADOKS DALAM
MENYEIMBANGKAN TANGGUNGJAWAB AKADEMIK DAN PENGLIBATAN SUKAN
GOLONGAN MURID ATLET. JuPiDi: Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 4(2), 21-28.
0 Comments